Pemimpin politik hari ini lebih utamakan duniawi untuk kaut keuntungan
Sistem politik negara perlu dirombak, ganti lebih segar

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 18 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Sistem politik hari ini terperangkap dengan falsafah Barat yang hanya berteraskan duniawi semata-mata.
Walhal, tugas utama pemimpin adalah mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran selari dengan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Malangnya, pemimpin politik kini lebih mengutamakan duniawi semata-mata kerana penyertaan mereka tidak ikhlas, yang lebih menjurus kepentingan peribadi.
Calon Pejuang Parlimen Bangi, Ustaz Annuar Salleh berkata, ada segelintir pemimpin tidak meletakkan matlamat untuk bangunkan Islam tetapi hanya memikirkan perkara remeh-temeh sahaja.
“Watak pemimpin ini menjengkelkan apabila terlibat dalam perebutan kuasa, fitnah, provokasi yang langsung tidak membangunkan ummah,” katanya
Beliau berkata demikian dalam program bertajuk ‘Perangai Politik Tempatan’ yang disiarkan secara langsung di Facebook, malam ini.
Atas dasar, Ustaz Annuar berkata, negara memerlukan rombakan sistem politik ke arah yang lebih segar supaya masyarakat tidak terus dianiaya dan hak mereka terus dibela.
Untuk itu, negara perlu lantikan pemimpin baharu yang berwibawa dan mempunyai impian untuk membangunkan ummah.
“Bukan itu saja, antara lain pemimpin perlulah dari kalangan yang sanggup berkorban demi membawa negara ke arah lebih makmur,” katanya.
Tegas beliau, hanya Islam yang layak dijadikan panduan dan rujukan untuk memandu kepimpinan politik masa depan.
Justeru, beliau mengajak seluruh umat Islam memilih pemimpin muslim yang berwibawa supaya pilihan tersebut bukan sahaja diredai Allah, tetapi dapat membangunkan negara ke arah yang lebih baik.