PN yakin dapat majoriti dua pertiga bentuk kerajaan
Hadi Awang percaya mampu rampas Perlis, Pahang dari BN

BUKIT MERTAJAM, 19 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) optimis untuk membentuk kerajaan dengan majoriti dua pertiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keyakinan itu bersandarkan gelombang kebangkitan yang dilihat tertarik dengan PN dan percaya mampu memberikan kemenangan kepada gabungan berkenaan.
“Keputusan PAS bergabung bersama PN juga bertujuan menyatupadukan ummah dan ia membentuk kerajaan yang aman dan harmoni.
“Saya bukan biasa pakai lambang biru (PN) ni, tapi sebab nak menyatukan ummah, kita pakai lah.
“Seboleh-bolehnya PN kena dapat majoriti dua pertiga, maka semua kawasan yang kita bertanding di Pulau Pinang iaitu Permatang Pauh, Bukit Mertajam, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Balik Pulau mesti dimenangi,” katanya berucap pada ceramah perdana PN di Kubang Semang.
Pada masa sama, Abdul Hadi turut yakin mampu merampas Perlis daripada cengkaman Barisan Nasional (BN).
Beliau berkata, impian untuk menawan Perlis dan Pahang bakal dicapai susulan sokongan pengundi semakin tinggi selepas bekas pemimpin UMNO yang digugurkan bertanding atas tiket PN dalam PRU15.
“Apabila kita buat begini (calon dua bekas pemimpin UMNO), ada gelombang di Perlis dan Pahang.
“Justeru, diharapkan kedua-dua negeri itu dapat ditawan dalam PRU15 kali ini,” katanya.
Terdahulu, dua ahli Parlimen berpengaruh daripada BN digugurkan selepas memutuskan untuk bertanding pada PRU15 menggunakan tiket PN.
Mereka adalah penyandang Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib dan penyandang Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.