Berita Utama

Tolak pemimpin pentingkan diri, kroni berbanding rakyat

Rakyat tanggung kesan jangka panjang jika salah buat pilihan

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 19 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Lambakan masalah sosial seperti zina, kelahiran anak tidak sah taraf dan krisis penceraian keluarga dalam masyarakat hari ini, khususnya bagi golongan muda berpunca kerana tiada panduan jelas di dalam kehidupan mereka.

‘Penyakit’ itu disebabkan daripada kelemahan pada kepimpinan negara apabila ditadbir oleh pemimpin yang mengutamakan kepentingan diri semata-mata, kata calon Pejuang di Parlimen Bangi, Annuar Salleh.

“Sepatutnya pemimpin menjalankan tanggungjawab menyelesaikan masalah rakyat, bukannya menggunakan kuasa yang ada untuk kepentingan peribadi dan mengumpul kekayaan untuk kroni-kroni sahaja.

“Inilah punca negara kita sehingga hari ini tidak mampu selesaikan masalah yang ada berikutan tidak fokus dan serius dalam mencari penyelesaian,” katanya dalam ceramah umum bersama jentera dan penyokong Pejuang di Saujana Impian, malam tadi.

Justeru, menjadi keutamaan setiap rakyat untuk memilih pemimpin yang tepat dan takut dengan Allah SWT, selain mempunyai wawasan serta visi jelas dan mampu memandu negara ke landasan tepat.

Annuar menegaskan, pemilihan pemimpin yang tepat juga adalah ibadah dalam Islam, selain rakyat akan menerima kesan jangka panjang sekiranya tersilap membuat pilihan.

“Negara akan lebih makmur, aman dan damai sekiranya dipimpin oleh pemimpin yang tepat dan bukannya individu yang berkepentingan diri.

Oleh itu, Gerakan Tanah Air menerusi Pejuang sedia melakukan perubahan dalam setiap dasar negara termasuk pendidikan untuk memastikan masa depan generasi akan datang lebih terjamin serta bebas masalah sosial.

“Kalau kita lihat pelbagai masalah timbul sehingga menyebabkan guru-guru mengalami tekanan kesan daripada sistem yang tidak stabil.

“Fenomena ini adalah bukti kegagalan dalam sistem pendidikan yang ada hari ini untuk melahirkan individu yang hebat sehingga menyebabkan banyak berlaku masalah jenayah dan rasuah.

“Justeru, penekanan sistem pendidikan bersepadu untuk melahirkan jati diri umat Islam yang boleh membangunkan negara adalah fokus utama kami dalam GTA,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button