Berita Utama

Hentikan ‘black economy’, dana haram untuk parti politik lindung jenayah

Tiap kali pilihan raya tabur duit, calon itu dipilih lagi, maka rosaklah negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 19 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Mana-mana parti sememangnya memerlukan dana besar bagi memastikan kelangsungannya dalam arena politik, namun yang menjadi isu adalah ketelusan sumber dana yang diperolehi. 

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, sebagai sebuah negara yang mahukan perubahan, dana yang diterima sesebuah parti politik sewajarnya diisytiharkan.

“Setiap parti apabila nak gerakkan aktiviti politik, mereka perlukan dana yang agak besar sebab nak beri pada penyokong, nak buat benda strategik pun perlukan kewangan.

“Mana-mana negara pun sama, perlukan dana politik, perlukan wang. Tapi negara lain lebih terbuka, mereka umum, berapa dana ini akan digunakan untuk apa, dan apa yang akan mereka lakukan untuk orang ramai. 

“Kerana jika dana ini tak diumumkan secara terbuka, ia akan datangkan masalah,” katanya dalam program Dimensi, yang disiarkan di TV Pertiwi, hari ini.

Apabila sesebuah parti menyatakan mereka memerlukan dana, ramai yang akan memberikannya, kata Musa.

Ia juga termasuk dana daripada kalangan pihak ekonomi gelap atau ‘black economy’ yang mahu aktiviti haram mereka dilindungi.

“Ramai yang akan sokong, tetapi yang kita takut ialah black economy, wang-wang haram yang dilakukan oleh kegiatan jenayah seperti pengedaran dadah dan lain-lain. 

“Jika mereka beri juga kewangan pada parti politik, parti politik ini juga perlu menjaga mereka – apabila jadi kerajaan. 

“Ini mendatangkan masalah kepada negara kerana banyaklah kegiatan haram yang boleh dilakukan dalam negara tersebut. Kerana mereka dah beri dana, jadi mereka perlu dijaga oleh pemimpin politik tadi,” jelasnya.

Menurutnya, perkara ini patut dihentikan kerana dana yang diperoleh adalah daripada sumber haram dan salah di sisi undang-undang.

Ia juga akan menjerumuskan sesebuah parti politik itu kepada aktiviti pengubahan wang haram, katanya lagi. 

“Jika parti politik kita terlibat, negara kita boleh rosak. Dengan politik wang juga boleh kekalkan seseorang menjadi calon, kerana banyak duit.

“Tiap-tiap pilihan raya dia akan tabur duit, jadi dia akan sentiasa dipilih untuk memimpin negara tersebut. Ada juga yang memang dah terlibat dalam jenayah tetapi terlibat juga dalam politik lalu jadi wakil rakyat. 

“Dan kes-kes mereka ditarik balik jika ada kes mahkamah. Jadi ini sesuatu yang tidak baik buat negara. 

“Kalau mereka dipilih menjadi wakil rakyat tetapi ada kes tertentu yang belum diselesaikan, akan datangkan masalah pada imej negara dan ia seolah-olah negara ini tidak hormat perundangan,” katanya.

Justeru, Musa berpandangan, apabila seseorang ingin menjadi calon dalam pilihan raya, amat penting untuk latar belakangnya disemak agar tidak terlibat dalam sebarang kes jenayah.

“Sepatutnya mereka juga dianggap sebahagian penjawat awam. Perlu patuhi peraturan disiplin. Kita juga patut boleh tentukan apabila dia ada kes mahkamah, dia tak boleh bertanding. 

“Kerana bimbang apabila dia diberi jawatan apa jadi kes tu? Dikuburkan? Bermakna dia tidak menghormati undang-undang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button