Israel mengganas tembak mati remaja Palestin
Tentera Zionis tidak teragak-agak lepaskan tembakan

RAMALLAH, 19 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Tentera rejim Zionis menembak mati seorang remaja perempuan Palestin pada Isnin di bandar Beitunia, Tebing Barat yang diduduki, sehari sebelum ulang tahunnya yang ke-16.
Kementerian Kesihatan mengesahkan, Fulla Rasmi al-Masalma ditembak di kepala oleh tentera Israel ketika serbuan tentera di Beitunia, barat Ramallah.
Dia adalah penumpang sebuah kereta bersama seorang lagi yang cedera dalam kejadian tembakan itu.
Tentera Israel mendakwa, askar kononnya menembak ke arah kenderaan yang ‘mencurigakan’ ketika ia memecut ke arah mereka dan tidak mengendahkan arahan untuk berhenti.
Menurut jurucakap dari perbandaran Beitunia, Ahmed Faraj, saksi bagaimanapun menyangkal dakwaan itu dan berkata, Masalma telah dinafikan rawatan perubatan.
Katanya, ‘tidak mungkin’ kedua-duanya tahu ada serbuan sedang berlaku dan mereka terserempak dengan askar secara tidak sengaja.
“Bagaimana mereka boleh tahu ada askar di jalan itu? Tentera sepatutnya memberhentikan sahaja kereta, tetapi mereka menembak mereka tanpa teragak-agak, malah tidak memeriksa untuk melihat siapa yang berada di dalam. Tiada amaran tembakan.
“Mereka menembak untuk membunuh, bukan untuk menghalang mereka,” kata Faraj.
Rakaman keselamatan dan keterangan saksi berkata, remaja itu dinafikan rawatan perubatan dan dibiarkan selama hampir 25 minit.
Tentera Israel mengembalikan mayatnya ke perkhidmatan ambulans Palestin kira-kira jam 6:30 pagi sementara seorang lagi mangsa berada dalam tahanan Israel. – Agensi