Berita Utama

Keluarlah mengundi walau rasa jijik terhadap politik

Selagi tiada pemimpin wibawa, negara kekal 'huru-hara'

BANGI, 19 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Walaupun rasa jijik dan muak dengan politik negara, anak muda tidak boleh sesekali mengabaikan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi pada 19 November ini.

Ini kerana, negara tidak akan keluar daripada ‘huru hara’ selagi pemimpin tidak berwibawa kekal di Parlimen.

Calon Pejuang di Parlimen Tampin, Ustaz Zamani Ibrahim tidak menafikan keadaan di Parlimen yang tidak lagi bercakap mengenai agenda negara, sebaliknya berkelahi sesama sendiri memberi kesan kepada anak muda.

Ia sekali gus menyemai rasa benci terhadap politik dalam diri mereka dan mendatangkan rasa malas kepada anak muda untuk turun mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Senario politik hari ini memang tidak menggembirakan kita menyebabkan anak muda ramai yang muak dan jijik dengan politik ini.

“Sebab di Parlimen bukan lagi bercakap mengenai agenda negara, berkelahi, menjerit, bertempik, cabar mencabar, hina menghina ini memberi kesan kepada anak muda.

“Akhirnya apa? Anak muda malas nak turun mengundi,” katanya menerusi video pendek disiarkan di Facebook beliau.

Bagaimanapun Presiden BERJASA itu yakin perkara itu dapat diubah sekiranya anak muda menjadi pengundi yang bijak dengan memilih calon berwibawa dan mempunyai agenda.

“Saya menyeru anak muda kita benci macam mana pun turun dan keluarlah mengundi. Kalau anda tak keluar mengundi, maka negara akan macam itulah keadaannya huru hara dengan bergaduh dalam Parlimen.

“Kita tukarlah, mengundi pilih pemimpin yang berwibawa dan ada agenda, muka baharu serta segar,” katanya.

PRU15 membabitkan 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi DUN di Pahang, Perlis dan Perak serta Bugaya di Sabah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari mengundi.

Terdahulu, sebanyak 578 pusat pengundian awal di seluruh negara membabitkan 970 saluran dibuka pada jam 8 pagi tadi.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) terkini, seramai 224,828 anggota keselamatan termasuk pasangan akan melaksanakan undi awal iaitu 117,473 anggota tentera serta pasangan, manakala 107,355 lagi adalah anggota polis dan pasangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button