Berita Utama

Kerjasama PN-BN: Takiyuddin nafi, kenyataan diambil di luar konteks

Yakin penuh PN dapat bentuk kerajaan secara bersendirian

BANGI, 19 Rabiulakhir 1444H. Selasa – Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menjelaskan kenyataan beliau berhubung penggabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diambil di luar konteks.

Beliau berkata, tajuk laporan berkenaan juga mengelirukan pengundi.

“Saya ingin tegaskan di sini bahawa saya berkeyakinan penuh PN akan dapat membentuk kerajaan secara bersendirian dan Perdana Menteri adalah daripada Perikatan Nasional.

“Kami percaya rakyat akan lebih yakin dengan tema PN iaitu prihatin, bersih dan stabil.

“Dengan kenyataan yang jelas ini, maka sebarang kenyataan berhubung kerjasama dengan BN tidak berbangkit dan kami di PN berkeyakinan akan membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU15,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan tidak menolak kemungkinan PN akan membentuk kerajaan dengan BN sekiranya mereka gagal membentuk kerajaan secara bersendirian pada PRU15.

Bagaimanapun, kenyataan itu kemudian disanggah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menyatakan PN bertanding pada PRU15 untuk menang dan menubuhkan kerajaan tanpa perlu bergabung dengan BN atau PH.

Muhyiddin menegaskan beliau tidak pernah memberi mandat kepada Takiyuddin untuk berunding dengan BN bagi sebarang tujuan penggabungan pasca PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button