Berita UtamaDunia

Kos tenaga melambung tinggi beri tamparan kepada peniaga Britain

Lebih satu pertiga restoran kurangkan waktu operasi

LONDON, 19 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Lebih satu pertiga restoran di Britain mengurangkan waktu perniagaan sejak tiga bulan lalu kerana tidak mampu menampung kos tenaga yang melambung tinggi.

Laporan oleh Pejabat Statistik Kebangsaan (ONS) menyatakan, kira-kira enam peratus pub, kafe dan restoran di seluruh United Kingdom (UK) menutup operasi mereka dua hari seminggu.

Selain itu, tujuh peratus lagi dibuka kurang sehari, manakala 21 peratus telah mengurangkan jam beroperasi tetapi bukan bilangan hari dibuka.

Menurut pejabat itu, pengurangan masa operasi adalah lebih biasa dalam sektor perhotelan berbanding bahagian lain dalam ekonomi Britain, di mana hanya tujuh peratus perniagaan melaporkan perkara ini.

Banyak perniagaan hospitaliti juga melaporkan, permintaan berkurang kerana pelanggan juga dikenakan bil tenaga yang melonjak sejak perang di Ukraine bermula.

Kerajaan Britain mengumumkan subsidi tenaga sementara untuk perniagaan pada bulan September, tetapi ONS berkata, ia hanya memberikan sedikit perubahan dalam bahagian perniagaan hospitaliti.

Bulan lalu, sebuah badan perdagangan yang dikenali sebagai UKHospitality berkata, lebih satu pertiga daripada sektor itu berisiko terjejas awal tahun depan disebabkan peningkatan kos tenaga dan bil-bil lain.

Pada akhir September, Gabungan Perniagaan Eropah memberi amaran mengenai krisis tenaga dan kos gas dan elektrik yang melambung tinggi di seluruh Eropah.

Tindakan itu boleh menyebabkan penutupan beribu-ribu firma EU.

Majoriti negara Eropah sedang bergelut dengan krisis tenaga berikutan sekatan terhadap tenaga Russia kerana serangannya di Ukraine. 

Akibatnya, negara anggota EU sedang mencari cara untuk mengurangkan tamparan daripada kos yang melambung tinggi.

Kebimbangan semakin meningkat mengenai kemungkinan kemelesetan di zon Euro dengan inflasi sudah meningkat ke paras tertinggi sepanjang masa sebanyak 9.1 peratus pada bulan Ogos. 

Kadar itu diramalkan dua digit menjelang akhir tahun ini.

Menurut S&P Global Ratings Company, Britain sudah pun mengalami kemelesetan setahun, dengan pound British merosot hampir 5 peratus pada satu ketika kepada $1.0327, terendah sejak 1971. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button