Kualiti pendidikan, hab pertanian fokus utama calon Pejuang DUN Belanja
Naik taraf teknologi moden penternakan ikan sangkar

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
PARIT, 19 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Kualiti pendidikan dan persekolahan antara tiga komitmen utama akan dilaksanakan calon Pejuang Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja.
Meskipun janji itu tidak mudah, Ustaz Shaharuzzaman Bistamam nekad akan berusaha menunaikan hasratnya jika memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau mahu memastikan infrastruktur sekolah mencukupi, terbaik dan terkini supaya boleh membantu pelajar mendapat pendidikan yang sesuai selaras dengan zaman.
“Kita juga nak guru-guru yang berkualiti dan boleh mendidik anak-anak desa maju ke depan.
“…kita nak sekolah-sekolah di tempat kita diberi kemudahan selayaknya,” katanya pada ceramah kelompok Pejuang di Kampung Tua Tanjung Belanja, malam ini.
Bukan itu sahaja, beliau juga mahu pelajar mendapat makanan yang sihat di sekolah supaya dapat membantu minda mereka.
Selain itu, Ustaz Shaharuzzaman ingin membangunkan kawasan setempat seperti mewujudkan Kampung Warisan agar dapat menarik balik pelancong dan membuka peluang pekerjaan kepada anak muda.
Beliau juga beriltizam menjadikan Belanja dan kawasan sekitar sebagai hab pertanian dan penternakan.
Walaupun sudah ada penternakan ikan sangkar di sana, calon Pejuang itu mahu menyuburkan lagi hasil seperti itu dan cuba menggunakan pendekatan teknologi moden bagi menaik taraf.
“Mana tahu ada keupayaan satu hari nanti kita usahakan buat makanan ikan dan sebagainya. Hari ini (harga) mahal menyebabkan kos naik bahkan nak beli kena import,” katanya.
Bagi DUN Belanja yang mempunyai 17,767 pengundi, Ustaz Shaharuzzaman akan mencabar Khairudin Abu Hanipah yang mewakili Barisan Nasional (BN).
Perikatan Nasional (PN) diwakili Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin serta seorang lagi pencabar iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Hishamuddin Abdullah.
Penyandang kerusi ini, Khairudin menang dengan majoriti undi sebanyak 2,729 pada PRU14 lalu.