Berita Utama

Najib kecewa dituduh bebas jika BN menang PRU15

Gesa pesaing politik tak jadikannya propaganda

KUALA LUMPUR, 19 Rabiulakhir 1444H. Selasa – Datuk Seri Najib Razak kecewa terhadap dakwaan beliau akan dibebaskan melalui pengampunan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu depan.

Bekas perdana menteri itu, dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui peguamnya dari Shafee & Co. hari ini, mengecam propaganda politik tidak berasas itu, sambil menegaskan beliau komited untuk dibebaskan melalui proses kehakiman mahkamah.

“Anak guam kami yakin peluang terbaiknya untuk dibebaskan dari penjara adalah melalui permohonan semakan akan datang yang difailkan menurut Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Anak guam kami seterusnya mengulangi bahawa dia tidak pernah meminta dan tidak akan pernah meminta pertuduhannya digugurkan,” kata kenyataan itu.

Najib menggesa pesaing politiknya untuk tidak lagi terlibat dalam propaganda politik yang tidak berasas dan membenarkan proses undang-undang berjalan dengan lancar.

Najib dipenjarakan 12 tahun serta denda RM210 juta kerana didapati bersalah pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button