Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Dunia

2022 tahun paling ‘berdarah’ buat Tebing Barat

18 terbunuh, 200 lain cedera angkara Israel sejak Oktober

RAMALLAH, 21 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Tentera pengganas Israel menembak dan membunuh 18 rakyat Palestin sejak 25 Oktober, selain mencederakan lebih 200 yang lain di Tebing Barat yang diduduki.

Jumlah itu sekaligus menjadikan 2022 sebagai tahun paling ‘berdarah’ buat Tebing Barat sejak 2005, menurut Laporan Perlindungan Orang Awam yang dikeluarkan dwi-mingguan oleh Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) di wilayah Palestin.

Enam rakyat Palestin terbunuh dan 28 cedera ketika operasi ketenteraan Israel di bandar Nablus dan kem pelarian Jenin pada 25 Oktober serta 3 November lalu.

Selain itu, lima rakyat Palestin dibunuh oleh tentera Israel dalam empat insiden berasingan di seluruh Tebing Barat, di mana kejadian terbaharu membabitkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Bukan hanya membunuh, tentera Israel turut menyekat pergerakan rakyat Palestin di beberapa lokasi di Tebing Barat.

Pihak berkuasa Israel memaksa merobohkan 54 bangunan di Baitulmaqdis Timur dan kawasan C Tebing Barat – dengan alasan kekurangan permit bangunan dikeluarkan Israel – di mana tujuh struktur disediakan sebagai bantuan kemanusiaan yang dibiayai penderma.

Kesannya, 35 orang, termasuk 16 kanak-kanak kehilangan tempat tinggal dan hampir 200 yang lain terjejas.

Majoriti struktur yang disasarkan iaitu 41 bangunan terletak di Kawasan C, termasuk 11 disita tanpa amaran sekali gus menghalang pemiliknya memfailkan bantahan.

13 lagi bangunan dirobohkan di Baitulmaqdis Timur, termasuk enam rumah dimusnahkan oleh pemiliknya bagi mengelak pembayaran denda kepada pihak berkuasa Israel.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button