Calon Melayu DAP terkait persenda Islam, hina Nabi di Twitter?
Perbualan hina agama tak patut dibiarkan, perlu diberi pengajaran: Idris Ahmad

BANGI, 21 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Satu tangkap layar memaparkan perbualan kumpulan anak muda di Twitter secara terang-terangan mempersendakan agama Islam dan menghina nabi, tular di media sosial.
Tangkap layar bertarikh 31 Julai 2020 itu memaparkan perbualan beberapa pemilik akaun Twitter, termasuk seorang calon DAP berbangsa Melayu, Islam di kerusi Parlimen Bangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Perbualan itu dilihat mempersendakan Allah SWT, Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Malaikat Jibril – dipercayai merujuk kisah pengorbanan kedua nabi – kononnya untuk bahan pertunjukan kostum.
Perkara itu turut mendapat perhatian bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang mengakui kesal dengan tindakan berkenaan.
“Mengucap panjang saya melihat perbualan anak muda ini di Twitter yang menghina Nabi kota yang mulia, malah disebut pula nama Allah seolah mahu mempermainkan agama.
“Apa yang lebih saya kecewa, antara perbualan Twit ini tertera seorang calon DAP berbangsa Melayu dan beragama Islam yang bertanding di tempat yang menjadi bandar ilmu dan Islam dan bangga dengan tokoh ulama, Allahyarham Datuk Dr Haron Din.
“… yang saya juga difahamkan beliau juga adalah Setiausaha Politik Lim Kit Siang, Tuan Syahredzan Johan,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, perbualan menghina agama seumpama itu tidak sepatutnya dibiarkan dan perlu diberikan pengajaran.
“Jika marah pun dengan mana-mana pihak yang membawa mesej agama, bukan ini caranya. Seseorang perlu bertanggungjawab terhadap tulisan seperti ini.
“Pihak berkuasa perlu dimaklumkan atas perbuatan seperti ini. Kita tak boleh biarkan kebebasan untuk meluahkan apa sahaja termasuklah dalam urusan agama dipandang ringan dan berleluasa. Pengajaran berat perlu dibuat!,” katanya.