Berita Utama

GTA perlu menang dulu baru fikir calon PM

Sasar menang lebih 112 kawasan untuk bentuk kerajaan

KUALA LUMPUR, 20 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Gerakan Tanah Air (GTA) perlu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) terlebih dahulu sebelum menamakan calon perdana menteri.

Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara itu bukanlah keutamaan buat masa ini.

“Kita tiada calon perdana menteri pun. Apa guna nak ada calon, kalau kita kalah apa kita nak buat dengan calon itu? Dia (calon) pun tak jadi perdana menteri. Kita tunggu sampai kita menang.

“Pada masa itu (sekiranya menang) semua pihak yang menang berhak untuk pilih siapa yang akan menjadi perdana menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas berkempen bersama calon GTA bagi Parlimen Ampang yang juga Ketua Pejuanita Muda Malaysia Dr Nurul Ashikin Mabahwi menerusi program Negarawan Bersama Doktor Banjir Gegar Ampang di Pangsapuri Seri Nilam di sini malam tadi.

Turut hadir isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan calon GTA Parlimen Shah Alam Rafique Rashid Ali.

Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang berkata, GTA menyasarkan untuk memenangi lebih 112 kawasan agar dapat membentuk kerajaan.

“Ini adalah hasrat kita kerana mengikut undang-undang, untuk membentuk kerajaan, kita mesti dapat lebih daripada 50 peratus kerusi dalam Dewan Rakyat,” katanya.

GTA bertanding di 121 kerusi Parlimen pada PRU15 ini.

GTA merupakan pakatan empat parti politik yang terdiri daripada Pejuang, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (IMAN) dan gabungan badan bukan kerajaan yang membentuk Gagasan Bangsa (GB).

Pada PRU15, calon GTA bertanding menggunakan logo Pejuang kecuali di Kelantan yang menggunakan logo Putra. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button