Berita Utama

Indonesia bakal pintas kemajuan Malaysia 2030

Negara jiran sudah tukar bentuk pimpinan, gaya fikir dan watak negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 20 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Malaysia sebenarnya sebuah negara yang sudah cukup syarat diberikan Allah SWT untuk menjadi negara yang unggul.

Negara ini hijau, subur, mempunyai sumber galian mineral yang cukup banyak, kedudukan negara yang sangat cantik serta strategik menempatkan laluan perdagangan dunia tetapi malangnya tidak digilap dan dimajukan. 

Akhirnya, kelemahan ini menyebabkan Malaysia ketinggalan di belakang negara-negara jiran termasuk Indonesia, demikian kata Ustaz Haji Zamani Ibrahim.

Calon Pejuang Parlimen Tampin itu berkata, fokus dalam negara hari ini hanya bercakap mengenai siapa yang bakal menjadi perdana menteri sehinggakan agenda pembangunan negara seakan tidak menjadi keutamaan.

“Hari ini kita didatangi pekerja Indonesia mereka nampak Malaysia hebat. Tetapi kelak apabila negara jiran mengisytiharkan Ibu Kota Indonesia (IKN) Nusantara, maka akan menjadi negara yang jauh lebih maju pada 2030. Tidak lama, lebih kurang 8 tahun sahaja lagi.

“Jadi jangan terperanjat nanti anak muda akan berhijrah untuk cari pekerjaan. Mengapa mereka cukup jauh ke hadapan? Sedangkan kita dulu pernah jadi Harimau Asia yang diangkat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. 

“Sekarang kita jatuh, sebaliknya Indonesia pula sedang mendaki untuk menjadi sebuah negara nusantara yang hebat,” katanya dalam ceramah umum di Felda Bukit Rokan, hari ini.

Beliau berkata, kemajuan ini berlaku kerana Indonesia sudah pun menukar bentuk pimpinan, gaya fikir dan watak negara mereka. 

Mereka menggunakan sumber negaranya dan kepakaran untuk bangun daripada negara yang sebelum ini menghantar rakyatnya bekerja di luar, katanya.

“Bagaimana pula kita? Semua orang rindukan Malaysia yang unggul, bukan Malaysia yang tidak bermaruah. Kalau kita tengok akhbar sudah sinonim rasuah dengan negara kita. 

“Pergi mana-mana kita malu, oh negara yang popular dengan rasuah. Inikah dia bentuk negara yang kita nak? Tidak. Kita nak menjadi sebuah negara unggul,” katanya.

Ustaz Zamani berkata, pembinaan negara unggul ini berasaskan enam teras utama di mana salah satunya adalah memfokuskan kepada identiti nasional dan perpaduan. 

“Kita ada sumber rakyat yang berbilang kaum. 32 juta orang itu adalah sumber negara dan bukan rakyat semata-mata. Mereka ini yang boleh kita jadikan kuasa bagi menjadikan kita satu negara yang sekali (bersatu). 

“Perpaduan itu mesti kita jelmakan bentuknya. Macam Thailand walaupun sana ada bangsa Cina atau bangsa lain, tetapi kita nampak identiti nasionalnya. Begitu juga di Indonesia, dengan kukuhnya bahasa sampai kita tak boleh bezakan bangsa rakyatnya. 

“Negara kita jauh ketinggalan dari seri identiti nasional yang sebenarnya merupakan satu perkara yang penting dalam membina negara unggul. Ini perlu digilap dan disatukan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button