Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Parti politik kurang bincang agenda kebangsaan, lakaran masa depan negara

Malaysia masih terperangkap 'power struggle' berbanding negara lain

BANGI, 21 Rabiulakhir 1444H, Rabu –  Agenda kebangsaan penting untuk dibincangkan dalam kerangka Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), memandangkan suasana geo-politik dan ekonomi yang meruncing bukan waktu kondusif untuk proses demokrasi diadakan.

Pegawai Penyelidik Iris Institute, Asyraf Farique berkata, perbincangan mengenai PRU15 hanya melatari mengenai parti, calon yang menang dan isu-isu permainan nasional semata-mata.

Sedangkan, terlalu sedikit pihak yang bercakap mengenai agenda kebangsaan atau lakaran masa depan negara yang ingin dibangunkan selepas pilihan raya kali ini, katanya.

“Kalau kita lihat dalam konteks di Asia Tenggara, negara seperti Singapura dan Indonesia sudah maju ke depan dengan agenda visi 2040 mereka, seperti Indonesia baru-baru ini menganjurkan G20 dan meletakkan negara itu pada wawasan yang hendak dicapai pada hadapan.

“Tetapi apa yang kita lihat di Malaysia khususnya, kita masih lagi terperangkap dalam suasana ini dan kebanyakan ahli politik masih lagi dalam suasana membincangkan ‘power struggle’ di antara mereka dan sukar untuk membawa negara ke hadapan,” katanya dalam rancangan Dimensi di TV Pertiwi, hari ini.

Bagi Iris Institute, Asyraf berkata, sesebuah negara yang hendak membawa agenda kebangsaan seharusnya mempunyai output kuasa, berbanding mengklusterkan manifesto setiap gabungan parti berdasarkan ekonomi dan bidang-bidang tertentu.

Selaras itu, beliau menggariskan lima output yang harus dicapai untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju, kuat dan berdaulat iaitu:

1) Keaslian dari sudut kedaulatan falsafah, ideologi dan identiti nasional;

2) Kesepaduan kehidupan sosial yang kompleks, iaitu bagaimana ekonomi, urus tadbir dan populasi diurus oleh kerajaan memerintah;

3) Keselamatan nasional membabitkan kekuatan dan kesiapsiagaan negara mendepani ancaman serta keselamatan nasional negara;

4) Bagaimana kerajaan mengurus sumber alam, kemandirian, kelestarian dan memanfaatkan sumber alam dan tenaga;

5) Dari sudut penguasaan pengaruh dan dasar hubungan luar negara.

Beliau berkata, sekiranya kelima-lima output itu disentuh oleh setiap gabungan parti bertanding, maka mereka mempunyai agenda kebangsaan yang hendak digarapkan untuk membawa negara maju ke depan.

“Kita tahu tawaran itu banyak dan adakala bersifat populis untuk meraih undi bagi segmen masyarakat yang mereka sasarkan, cuma kalau dibandingkan dengan PRU sebelum ini, ia kurang bersifat populis dengan PRU14.

“Kalau PRU14 banyak langkah-lanagkah yang dilakukan bersifat populis dan lebih kepada hendak menarik undi,” katanya.

Tonton Dimensi;

https://fb.watch/gQ30m1-134/?mibextid=de0Fye

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button