Terengganu umum 20 November cuti ganti untuk PRU15
Penggantian selaras Akta Hari Kelepasan 1951

BANGI, 21 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Terengganu bersetuju menggantikan hari kelepasan am untuk mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada Sabtu kepada 20 November, Ahad ini.
Penggantian itu susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa 18 dan 19 November ini sebagai hari kelepasan am seluruh Malaysia, bagi memudahkan rakyat keluar mengundi pada PRU15.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, memandangkan hari kelepasan am itu jatuh pada hari kelepasan mingguan bagi negeri berkenaan, maka penggantian akan diberikan pada Ahad.
“Memandangkan hari kelepasan am tersebut jatuh pada hari kelepasan mingguan bagi negeri Terengganu iaitu pada Jumaat dan Sabtu, maka hari kelepasan am yang jatuh pada 19 November (Sabtu) akan digantikan pada hari berikutnya iaitu 20 November 2022 (Ahad).
“… dan dijadikan sebagai hari kelepasan am negeri selaras dengan Seksyen 3, Akta Hari Kelepasan 1951,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Johor turut mengumumkan penggantian hari kelepasan am untuk mengundi PRU15 pada Jumaat ini kepada 20 November, Ahad setelah mendapat perkenan Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, penggantian itu sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Johor yang keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab mereka.