Wajib tolak calon liberal jadi pemimpin: MUIS
Perjuang hak asasi cara Islam tanpa belakangkan Allah SWT

BANGI, 21 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Umat Islam wajib menolak calon yang membawa idelogi liberal kerana bercanggah dengan kerangka penilaian syarak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) minggu ini.
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS), Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, kebelakangan ini tersebar pemikiran liberal yang dilihat bukan sahaja mempertikaikan syariat Islam berteraskan sunnah Rasulullah, malah turut mengajak manusia meninggalkan sunnah.
Justeru, sekiranya terdapat ahli politik yang berpegang kepada pemikiran seumpama itu, umat Islam tidak seharusnya mengangkat mereka sebagai pemimpin.
“Pemikiran liberal dalam beragama telah merosakkan kerangka pemikiran muslim.
“Mereka berusaha meleraikan ajaran Islam bermula dengan merungkai ikatan syarak terhadap terhadap cara hidup, kemudian mereka mempertikaikan pula hukum syarak.
“…sehingga kepada tahap mereka berusaha mengubah hukum syarak serta menolaknya dari muka bumi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Ahmad Sanusi berkata, desakan liberal dalam memperjuangkan hak kebebasan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), menuntut kebebasan untuk tidak menutup aurat serta menegaskan hak sama rata ada adalah tipu daya atau fitnah yang lahir daripada nafsu manusia.
Katanya, di Malaysia kerangka pemikiran liberal telah diwartakan sebagai sesat, merujuk keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25 hingga 27 Julai 2006.
Beliau berkata, jawatankuasa itu memutuskan bahawa aliran pemikiran liberal yang dibawa oleh kumpulan ini teleh menyeleweng daripada segenap aspek.
“Dan pada 17 Julai 2014, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pula telah mengisytiharkan fatwa yang menyatakan pemikiran ini sebagai sesat dan menyeleweng.
“Oleh itu, adalah menjadi kewajiban buat muslim untuk menolak pemimpin yang membawa pemikiran liberal ini, yang dilihat bercanggah dengan kerangka penilaian syarak.
“Isu hak asasi kemanusiaan telah lama diperjuangkan oleh Islam melalui jalannya yang tersendiri, yang tidak membelakangkan hak Allah dan hak manusia,” katanya.