Perbaiki sistem sokongan perubatan pesakit kronik
Fokus isu pendidikan kesihatan pada masyarakat sebelum berlaku komplikasi

KETIKA berkempen baru-baru ini, saya menyantuni seorang pesakit iaitu En Hazman dari Bukit Goh selepas beliau selesai mendapatkan rawatan di Klinik Komuniti Kg Padang.
Beliau yang dikurniakan 5 orang anak telah diberhentikan kerja kerana mengalami luka teruk di bahagian kaki akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak 11 tahun yang lalu. Luka ini berpunca daripada bengkak yang disebabkan oleh kasut yang beliau pakai ketika bekerja sebagai pemandu lori dan ianya perlu dibedah.
Dari pemerhatian saya, beliau kurang mendapat bantuan dan sokongan kerajaan untuk memudahkan proses rawatan penyakit kencing manis yang kronik ini. Beliau datang ke klinik dengan memandu sendiri dalam keadaan mata tidak berapa nampak serta kaki berbalut plastik. Keadaan ini saya lihat sangat merbahaya kepada beliau.
Bagi saya kerajaan bertanggungjawab merawat pesakit yang menghidapi penyakit kencing manis kronik, buah pinggang, mata, jantung dan lain-lain supaya rakyat keseluruhan mendapat keselesaan ketika menerima rawatan.
Encik Hazwan sendiri saya lihat kurang mendapat sokongan kerajaan untuk membiayai kos perubatan, tambahan lagi beliau tidak dapat bekerja utuk menyara keluarga, termasuk 2 orang anaknya yang kecil juga tiada penjaga kerana isterinya perlu bekerja.
Pihak kerajaan juga sepatutnya menyediakan pengangkutan percuma untuk membawa pesakit dari rumah ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan bagi yang tidak berkemampuan.
Mereka juga memerlukan bantuan alat perubatan yang boleh dimanfaatkan oleh pesakit untuk mengelakkan komplikasi-komplikasi penyakit lain selain sokongan moral yang diberikan kepada mereka.
Jika saya diberi peluang untuk menjadi Ahli Parlimen Indera Mahkota, kita akan usahakan dan tumpukan kepada isu pendidikan kesihatan kepada masyarakat sebelum berlaku komplikasi dan selepas menghidapi penyakit untuk mengelakkan mereka perlu membayar kos perubatan yang tinggi.
Kedua, mewujudkan sistem sokongan dari kalangan masyarakat sekeliling untuk membantu pesakit di dalam komuniti terlibat.
Ketiga, menyediakan bantuan kebajikan kesihatan yang komprehensif semasa dan selepas menerima rawatan terutama bagi golongan B40 dan warga emas sebagai contoh petugas kesihatan datang ke rumah untuk merawat luka.
Keempat, menyediakan bantuan alat sokongan perubatan kepada pesakit yang memerlukan.
Pangkah calon No. 1
Parlimen P. 082 Indera Mahkota
Dr Mohamad Nor Sundari
Undilah Pejuang untuk Berjasa!