Berita Utama

PH gagal bentuk kerajaan jika BN, PN dan Pejuang bergabung

Harapan Anwar Ibrahim untuk jadi Perdana Menteri akan turut hancur

BANGI, 22 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Hasrat Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mungkin tidak kesampaian sekiranya Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) bergabung.

Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berkata, walaupun ramalan institut-institut kajian yang berat mengatakan PH bakal mendominasi telah disahkan palsu, tidak mustahil gabungan itu bakal mencatatkan jumlah kerusi Parlimen tertinggi.

Menurut jumlah calon kerusi Parlimen, PH mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 206 orang, diikuti BN (178), PN (149) dan Pejuang (116).

“Namun saya berpandangan walaupun dengan bilangan kerusi Parlimen yang tertinggi, PH tidak akan mampu membentuk kerajaan bersendirian.

“Jika BN, PN dan Pejuang bergabung selepas PRU15, harapan PH untuk membentuk kerajaan mungkin hancur lebur,” kata Muhammad Lukman dalam kenyataan, hari ini.

Sekiranya ia berlaku, Pengarah Pilihan Raya BERJASA itu menjangkakan harapan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri turut hancur.

“Sama-sama kita nantikan. Semoga apa sahaja keputusan membawa Malaysia ke landasan yang baik untuk menjadi negara unggul dan bermaruah,” katanya.

PRU15 mencatat sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam sejarah PRU negara.

Berdasarkan data yang dipaparkan di Pusat Media ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 441 calon akan bersaing untuk merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah.

Terdahulu, SPR dilaporkan akan mengadakan mesyuarat khas Jumaat ini bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting urusan PRU15 Parlimen Padang Serai, susulan kematian calon PH, M Karupaiya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button