Berita Utama

Ustaz Hamidi, rakyat Kepala Batas bantah projek Taman Teknologi Pulau Pinang

Calon Pejuang mahu Kepala Batas diwarta sebagai hab kediaman dan pendidikan

KEPALA BATAS, 22 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Ustaz Hamidi Hassan bersama rakyat Kepala Batas membantah sekeras-kerasnya projek pembangunan Taman Teknologi Pulau Pinang (PTP) di Bertam.

Calon Pejuang Parlimen Kepala Batas itu berkata, isu berkenaan sudah lama menjadi keluh kesah penduduk di sekitar Bertam.

Ini kerana projek tersebut ingin didirikan di kawasan yang berdekatan dengan kediaman penduduk.

“Saya pasti kerisauan ini menjengah dalam diri setiap penduduk Bertam. Saya juga pasti kita semua tidak mahu peristiwa pencemaran yang berlaku di Sungai Kim-kim Johor pada tahun 2019 berulang di Bertam sekiranya PTP dilaksanakan.

“Jadi dengan ini, saya menegaskan pendirian bahawa saya membantah sepenuhnya pembangunan PTP,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau, hari ini.

Oleh sebab itu, beliau berkata, pewartaan Kepala Batas sebagai hab kediaman dan pendidikan sangat penting untuk dilaksanakan.

Katanya, ia adalah di antara tawaran utama Pejuang kepada masyarakat Kepala Batas.

“Sebagai anak jati Kepala Batas, saya seirama dan senada bersama-sama masyarakat dan NGO-NGO untuk membantah PTP sepenuhnya.

“Ayuh sama-sama kita teruskan perjuangan ini hinggalah ia dibatalkan sepenuhnya oleh kerajaan negeri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button