Berita Utama

Wujud kumpulan tertentu cuba ancam kedudukan Islam

Calon Pejuang Larut tekad kembalikan maruah bangsa Melayu

BANGI, 22 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Ancaman perpaduan dan kedudukan agama Islam di negara ini bukan lagi isu baharu, namun dibimbangi akan bertambah parah jika terus dibiarkan.

Atas dasar itu, calon Pejuang di Parlimen Larut, Auzaie Fadzlan Shahidi bertekad untuk memperjuangkan maruah orang Melayu dan Islam sekiranya Gerakan Tanah Air (GTA) diberi mandat membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Graduan Syariah di Universiti Al-Azhar Mesir itu berkata, umum mengetahui pada hari ini wujud kumpulan tertentu yang merosakkan perpaduan di kalangan rakyat dan memberi ancaman kepada kedudukan Islam.

“Oleh itu, saya daripada Gerakan Tanah Air yang merupakan komponen 100 peratus orang Melayu dan Islam akan berusaha untuk mengembalikan maruah bangsa Melayu seterusnya memartabatkan agama Islam.

“Saya menyeru kepada semua penyokong PAS di Larut yang ikhlas memperjuangkan Islam untuk sama-sama dengan saya mengembalikan maruah bangsa Melayu dan agama Islam,” katanya menerusi rakaman video disiarkan di Facebook beliau, hari ini.

Kerusi Parlimen Larut yang disandang Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainuddin sejak 2008 menyaksikan pertandingan empat penjuru pada PRU15.

Hamzah yang mewakili Perikatan Nasional (PN) akan dicabar calon Barisan Nasional (BN), Mohd Syafiq Fhadly Mahmud; Zolkarnain Abidin (Pakatan Harapan) dan Auzaie Fadzlan Shahidi daripada Pejuang.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button