Kerajaan Muhyiddin lemah, BN pula tak berjuang untuk rakyat
Pemimpin yang mungkin dipenjara selamat jika UMNO menang besar

BANGI, 23 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad menganggap kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai lemah dan mudah dijatuhkan, apabila Barisan Nasional (BN) boleh kembali memerintah meskipun kalah teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu berkata, Muhyiddin dijatuhkan sebagai Perdana Menteri sebaik bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak – yang kini dipenjara 12 tahun – menarik keluar 15 wakil rakyat parti itu.
Dakwanya, penarikan sokongan itu akhirnya menyebabkan kerajaan ‘pintu belakang’ Muhyiddin jatuh dan UMNO menerusi Datuk Seri Ismail Sabri mengambil alih tampuk pemerintahan negara.
“Walaupun BN yang kalah, kembali sebagai kerajaan, tetapi Najib tidak dapat diselamatkan.
“Maka, PRU diperlukan supaya dengan sogokan wang yang masih ada pada UMNO, parti itu akan menang besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dr Mahathir juga mendakwa, sekiranya UMNO memperoleh menang besar pada PRU15, pemimpin-pemimpinnya yang menghadapi kemungkinan dipenjara akan selamat.
“Inilah perjuangan UMNO dan PRU15 yang diakui oleh Zahid Hamidi, Presiden UMNO.
“Apa jadi kepada rakyat dan negara bukan perjuangan UMNO dan BN,” soalnya.