Parlimen Padang Serai mengundi 7 Disember
24 November penamaan calon, undi awal 3 Disember

BANGI, 23 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menangguhkan proses pengundian di P017 Parlimen Padang Serai kepada 7 Disember depan, susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH), Karupaiya A/L Mutusami pada 16 November lalu.
Justeru, mesyuarat khas SPR hari ini menetapkan satu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Bahagian Parlimen Padang Serai perlu diadakan semula mengikut tarikh-tarikh baharu yang diputuskan.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya telah menetapkan 24 November ini sebagai hari penamaan calon, dengan 3 Disember untuk mengundi awal serta hari pengundian pada 7 Disember 2022.
“Tempoh berkempen ditetapkan 13 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 24 November 2022 sehingga 11.59 malam, 6 Disember 2022 (Selasa).
“Urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara secara dalam talian dibuka daripada 18 November 2022 (Jumaat) dan ditutup pada 22 November 2022 (Selasa),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim akan digunakan sebagai pusat penamaan calon (PPC) dan pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU).
“Bagi maksud hari penamaan calon PRU ke-15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P017 Padang Serai pada 24 November, calon-calon yang layak yang sah dinamakan sebelum ini dikehendaki hadir ke pusat penamaan calon bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan giliran pada kertas undi.
“Manakala bakal-bakal calon baharu yang ingin bertanding dalam PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P017 Padang Serai, hendaklah menyerahkan kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon yang telah ditetapkan oleh SPR,” katanya.
Abdul Ghani berkata, dianggarkan sebanyak RM1.6 juta peruntukan diperlukan bagi pelaksanaan PRU15 di Parlimen Padang Serai.
“Seramai 2,468 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRU15 Bahagian Pilihan Raya Parlimen P017 Padang Serai.
“Manakala, sebanyak 46 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 230 tempat mengundi/saluran dan satu pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi dua tempat mengundi/saluran awal digunakan,” katanya.