Tiada lagi naratif politik kotor jika GTA jadi kerajaan
Kelebihan anak tempatan mudahkan Zulkifli dekati pengundi Batu Kurau

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 23 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Tiada lagi naratif politik kotor sekiranya Gerakan Tanah Air (GTA) diberi mandat memegang tampuk pemerintahan negara.
Meskipun ada pihak yang ‘memomokkan’ bahawa politik itu kotor, GTA sentiasa komited mahu membina naratif baharu dan membersihkan kekotoran itu.
Calon Pejuang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau, Zulkifli Yahya berkata, politik adalah sebahagian daripada perjuangan Islam dan ia menjadi tanggungjawab ahlinya untuk membersihkan naratif kotor itu.
“Sebenarnya politik sebahagian daripada perjuangan Islam, jadi kita perlu terjun dalam politik dan bersihkannya.
“InsyaAllah, saya akan bersungguh-sungguh dalam perjuangan ini dan membina satu naratif baharu iaitu politik merupakan perjuangan yang perlu diteruskan,” katanya.
Menjelang saat-saat akhir tempoh berkempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Zulkifli berkata, pelbagai isu setempat telah beliau kenal pasti setelah mendekati lebih dekat pengundi di setiap pelusuk DUN Batu Kurau.
Beliau berkata, kelebihannya sebagai anak tempatan di DUN itu tidak menyukarkannya mendekati pengundi, apatah lagi untuk memahami denyut nadi mereka.
“Isu pertama yang kita lihat adalah kemiskinan, di mana ramai penduduk di Batu Kurau yang masih lagi berada di bawah paras kemiskinan. Saya nampak isu ini besar dan menjadi peranan kerajaan untuk membasmi kemiskinan.
“Isu kedua ialah keperluan asas seperti jalan, kesihatan, pendidikan, internet, air bersih dan sebagainya. Ini merupakan satu perkara yang perlu diselesaikan oleh pemimpin yang menjadi wakil rakyat di DUN Batu Kurau ini,” katanya.
Beliau berkata, isu mengenai fasiliti kesihatan seperti mewujudkan sebuah hospital kecil perlu diberi keutamaan selepas PRU15 ini, bagi memastikan penduduk di DUN itu menerima akses terbaik.
“Selain itu, kita juga melihat akses internet yang lemah di sesetengah kawasan selain rungutan mengenai keadaan jalan yang kecil dan isu air bersih untuk sebahagian kawasan di kampung Batu Kurau.
“Justeru, beri peluang kepada kami daripada GTA, yang bertanding atas logo Pejuang untuk mengurus dan memerintah negara, insyAllah kita mampu menjaga serta memberi khidmat terbaik kepada rakyat,” katanya.