Berita Utama

Ugut Azam Baki buktikan PH amal politik dendam

Rafizi pamer semula sikap antikakitangan kerajaan

BANGI, 23 Rabiulakhir 1444H, Jumaat – Tindakan Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan didakwa berbaur ugutan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memperlihat Pakatan Harapan (PH) mengamalkan politik dendam.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR itu dalam Ceramah Mega PH di Johor Bahru dilaporkan berkata, PH akan ‘mencari’ Azam sekiranya pakatan itu menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Esok (hari ini) kita jumpa di mahkamah, lusa (Jumaat) satu hari lagi kempen, Sabtu kita mengundi. Lepas menang pilihan raya kami cari Azam Baki, Insya-Allah.

“Saya tahu Azam Baki tengok ini! Saya harap bila Pakatan Harapan menang bila kami cari kamu, kamu jangan salahkan adik kamu sekali lagi,” katanya.

Mengulas perkara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, sikap calon kerusi Parlimen Pandan itu jelas menunjukkan parti berkenaan tidak patut diberi mandat untuk mentadbir Malaysia.

Menurutnya, belum pun memerintah negara, PH sudah ada niat jahat kepada kakitangan kerajaan.

“Ya, jadi inilah sikap sebenar mereka yang sentiasa menyimpan dendam. Selepas PRU14, kita tengok mereka sudah balas dendam.

“Hari pertama, pegawai kerajaan yang tak bersama mereka dibuang, kakitangan kontrak puluh ribu dibuang begitu sahaja seperti JASA, BTN dan sebagainya kerana menganggap mereka penyokong BN,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, ramai juga pengerusi syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dipecat selepas pemerintahan kerajaan PH pada 2018.

Katanya, sikap PH yang antikakitangan kerajaan nampaknya dipamerkan semula oleh Rafizi.

“Jadi terbubar dengan sendiri, tiada kerja. Pengerusi-pengerusi agensi anak syarikat sebagainya kalau daripada parti pemerintah BN terus mendapat surat pecat.

“Maknanya sikap mereka dah tunjuk semula Rafizi semalam apabila mengugut Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button