Berita Utama

Jangan cetus provokasi ganggu proses mengundi

Polis ambil tindakan ikut peruntukan undang-undang

BANGI, 24 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba untuk mencetuskan huru-hara bagi menganggu proses Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya memberi jaminan bahawa mereka yang didapati melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan.

Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk terus bersikap matang dan hormat menghormati antara satu sama lain serta mengelakkan daripada melakukan sebarang perbuatan atau provokasi yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini, kerana boleh mengganggu gugat keselamatan serta ketenteraman awam.

“Sebagaimana kita semua sedia maklum, pada hari ini iaitu 19 November 2022, seluruh rakyat Malaysia akan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Justeru itu, Polis Kontinjen Selangor ingin menasihatkan kepada masyarakat di negeri Selangor agar sentiasa mematuhi arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa bagi memastikan proses Hari Mengundi pada hari ini berjalan dengan lancar,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas perkembangan PRU15 di Selangor, beliau berkata, sebanyak 35 laporan dam satu kertas siasatan baharu dibuka berhubung pilihan raya semalam.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan laporan polis yang diterima mulai 5 hingga 18 November 2022 adalah sebanyak 354 laporan polis dengan 27 kertas siasatan telah dibuka dan daripada jumlah laporan tersebut, pihak polis juga telah berjaya menangkap serami enam orang individu.

“Manakala bagi kempen/ceramah pula, sebanyak 94 ceramah dan kempen berpermit telah diadakan oleh parti-parti yang bertanding pada 18 November 2022.

“Jumlah keseluruhan kempen/ceramah berpermit yang telah diadakan sepanjang tempoh 5 hingga 18 November 2022 adalah sebanyak 3,571,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button