Berita Utama

Pengundian DUN Tioman ditangguhkan

Calon PN meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

KUANTAN, 24 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Pilihan raya bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman ditangguhkan berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN), Md Yunus Ramli, hari ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Rompin Datuk Ahmad Nasim Mohd Sidek, dalam satu kenyataan berkata, penangguhan itu hanya berkuat kuasa untuk kerusi DUN Tioman manakala pengundian bagi kawasan Parlimen Rompin akan berjalan seperti biasa.

“Dengan rasa sedih kami memaklumkan calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N41 Tioman Md Yunus meninggal dunia pada 2.40 pagi pada 19 November (hari ini).

“Pengeluaran kertas undi bagi kerusi itu akan ditangguhkan dan hanya melibatkan kerusi DUN masing-masing manakala pengundian bagi kawasan Parlimen P091 Rompin akan berjalan seperti biasa. Maklumat lanjut akan dikemas kini secara berkala oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.

Kerusi Parlimen Rompin mempunyai tiga DUN iaitu, Muadzam Shah, Ibam dan Tioman.

Yunus yang merupakan Naib Pesuruhjaya PAS Rompin meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital Rompin. Beliau dipercayai meninggal dunia akibat serangan jantung.

Tioman sepatutnya menyaksikan pertandingan lima penjuru antara penyandang Datuk Seri Johari Husin (Barisan Nasional), Osman Bakar (Pejuang), Fadzli Mohd Ramly (Pakatan Harapan), calon bebas Sulaiman Bakar dan Yunus.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button