Riwayat ahli politik salah guna kuasa mesti ditamatkan
Gunakan kuasa memilih undi pemimpin yang bela nasib rakyat

Oleh Zuhayati Yazid
BANGI, 24 Rabiulakhir 1444H, Sabtu – Pengundi hari ini perlu menggunakan kuasa yang ada untuk memilih pemimpin yang tepat bagi membela nasib rakyat dan membawa pembangunan kepada negara.
Penganalisis politik, Dr Mohamad Tawfik Yaakub berkata, ini masa yang sangat penting kepada rakyat untuk tunjukkan kuasa mereka.
“Saya lihat pemimpin politik hari ini semakin faham bagaimana mereka berkempen dan merayu supaya diberikan peluang kali kedua.
“Jangan kita bagi peluang kepada pemain politik yang menyalahgunakan kedudukan dan kuasa semata-mata untuk kepentingan politik peribadi.
“Kuasa rakyat sangat penting. Paling utama bagaimana mahu kembalikan mandat rakyat yang sebenar kepada pengundi-pengundi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live Granstand: Mengundilah Demi Masa Depan Kita, yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Mohammad Tawfik juga berkata, mandat adalah kuasa keramat yang ada kepada rakyat .
Malah beliau berkata, ada dalam kalangan pemimpin parti hari ini yang jelas ketakutan dengan kuasa rakyat.
“Kita dapat lihat pemimpin yang sebelum ini angkuh dan ego di Parlimen juga sanggup turun berkempen di pasar dan di bahu jalan untuk berjumpa rakyat seolah-olah merayu untuk mengundi mereka.
“Jadi inilah masanya yang sangat penting memilih pemimpin yang tepat dan mampu bekerja untuk rakyat dan negara,” katanya.