Berita Utama

Calon MB dari PAS, tiada lagi benih BN di Perlis

Aura Shahidan Kassim dan gelombang rakyat nak perubahan

BANGI, 25 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Kepimpinan Perikatan Nasional (PN) Pusat akan menentukan calon Menteri Besar Perlis dan dijangka diumumkan esok.

Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, sehingga kini pihaknya tidak mencadangkan sebarang nama selepas gabungan parti itu menyapu bersih 14 daripada 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis.

“Kita masih menunggu watikah daripada Pusat. Kita tidak mencadangkan sesiapa, tunggu lantikan daripada Pusat.

“Difahamkan watikah itu telah dihantar ke Perlis. Yang pasti, Menteri Besar yang baharu daripada PAS,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Beliau pada masa tidak menafikan kemenangan besar PN di negeri Indera Kayangan itu dipengaruhi aura Datuk Seri Dr Shahidan Kassim selain gelombang rakyat yang mahukan perubahan.

“Terima kasih kepada rakyat negeri Perlis di atas keberanian berubah kepada yang lebih baik,” katanya sambil memberi jaminan untuk membawa pentadbiran yang bersih dan stabil.

Beliau menambah pentadbiran kerajaan negeri itu akan berjalan dengan lancar memandangkan tiada lagi ‘benih’ BN di Perlis selepas ini.

“Kepemimpinan PN Perlis akan mendengar dan memberi perhatian kepada suara rakyat negeri ini serta manifesto akan diperhalusi dan dilaksanakan dengan penuh berhemah,” katanya

“Untuk menumbangkan BN sampai tahap 17 (kerusi PN) satu (kerusi PH) ini memang tidak dijangka.

“Kami sangka setakat majoriti mudah sahaja. Kepercayaan yang diberikan kepada kami adalah ujian, amanah yang amat besar untuk kami menanggungnya.

Sementara itu, Shukri yang berjaya mempertahankan kerusi DUN Sanglang berkata, kejayaan PN di Perlis menamatkan legasi pemerintahan BN sejak 65 tahun lalu.

Semalam, keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PN membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi 14 kerusi DUN dan hanya satu kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) di DUN Indera Kayangan .

PN juga menguasai ketiga-tiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Perlis pada PRU15.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button