Berita Utama

Kluster rasuah, salah guna kuasa punca rakyat tolak BN kali ke-2

Sikap ego konon mampu menang sendirian kini makan diri

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 25 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada PRU15 kerana adanya pemimpin dalam gabungan itu yang terpalit jenayah rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Selepas kalah PRU14, BN melalui proses pembersihan namun disebabkan masih ada saki baki dan individu yang kekal dalam parti, rakyat sekali lagi menolak parti terbesar orang Melayu itu.

Profesor Emiretus Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan UPNM, Prof Datuk Wan Hashim Wan Teh berkata, hal itu mendorong rakyat beralih kepada parti-parti alternatif yang dilihat bersih dan tidak terjebak dengan sebarang kes.

“Saya kira keputusan PRU15 ini menunjukkan peralihan pengundi Melayu yang dahulu adalah penyokong tegar kepada BN, kinj beralih kepada Perikatan Nasional (PN) dan sebahagian ke Pakatan Harapan(PH).

“Bermakna, pengundi -pengundi tidak lagi boleh terima BN kerana pemimpin yang ada dalam parti masih terpalit dengan masalah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Dimensi: Rakyat Tolak Parti Rasuah yang disiarkan di TV Pertiwi, hari ini.

Mengulas, lanjut Prof Wan Hashim berkata, sikap terlebih yakin Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga turut mempengaruhi keputusan kekalahan BN pada PRU15.

Zahid hanya melihat kejayaan PRN Melaka dan Johor itu sebagai momentum berterusan, walhal kali ini Undi18 sangat mempengaruhi .

Sikap ego Zahid juga dilihat makan diri apabila terlalu yakin untuk bergerak solo dan menolak Muafakat Nasional (MN).

Beliau berkata, sekiranya pemimpin utama BN itu bertindak lebih awal dengan mengundur diri atau tidak bertanding, impaknya tidak seburuk hari ini.

“Tetapi disebabkan Zahid tidak meletakkan jawatan dan masih terpalit dengan kes-kes mahkamah jadi proses pembersihan parti itu dianggap separuh jalan sahaja,” katanya.

Justeru, Zahid perlu akur dengan kehendak parti dan perlu mempertimbangkan untuk berundur dengan cara terhormat tanpa perlu menunggu Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

Pautan Dimensi:
https://www.youtube.com/watch?v=yT51vk8HDS4

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button