Berita Utama

‘Perjuangan bersihkan negara mesti diteruskan’: Datuk Rosli

Walaupun masih baharu GTA tetap relevan, akan diperkemaskan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

PUTRAJAYA, 25 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Meskipun kemenangan tidak berpihak kepada Gerakan Tanah Air (GTA) malam ini, namun perjuangan mesti diteruskan untuk membersihkan negara, demikian kata Datuk Mohd Rosli Ramli.

Calon Pejuang bagi Parlimen Putrajaya itu berkata, beliau berharap pemimpin yang berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak mensia-siakan harapan setelah mendapat mandat rakyat.

“Perjuangan mesti diteruskan. Jangan muka-muka yang kotor masih ada dalam kerajaan. Harapnya mereka yang ada boleh membaiki negara,” katanya ketika ditemui Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, keputusan undian kali ini juga memberi makna bahawa telah sampai masanya anak muda mengambil alih tampuk pemerintahan.

“Mereka perlukan pemimpin-pemimpin baharu dan muda. They should take over,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan penyertaannya dalam pilihan raya kali ini sebagai pengalaman yang cukup baik.

Pun begitu, beliau tidak menafikan GTA memerlukan penyelarasan di samping memperkemaskan koordinasinya.

“Insya-Allah, GTA tetap relevan walaupun kita masih baharu. Apa yang perlu kita lakukan adalah perkemaskan GTA agar lebih baik di masa hadapan,” katanya.

Mohd Rosli berdepan saingan enam penjuru dengan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Barisan Nasional), Datuk Dr. Radzi Jidin (Perikatan Nasional), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan, Samsudin Mohamad Fauzi (Bebas) dan Lim Fice Bee (Bebas).

Keputusan PRU15 menyaksikan Dr Radzi menang dengan majoriti 2,310 undi sekali gus mengalahkan penyandang kerusi itu selama empat penggal, Tengku Adnan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button