Berita Utama

Shahril letak jawatan UMNO, gesa Zahid ikut langkah sama

Biar individu lain bincang keputusan besar untuk parti

BANGI, 25 Rabiulakhir 1444H, Ahad – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Shahril Sufian Hamdan mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu hari ini, susulan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Serentak itu, beliau turut menggesa Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengambil langkah serupa atas dasar tanggungjawab bersama.

Sependapat dengan saranan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini, Shahril berkata, Ahmad Zahid perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan BN melalui pengunduran secara terhormat.

“Biar kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini.

“Atas semangat ‘collective responsibility’ itu, saya juga meletakkan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO Malaysia.

“Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma ini soal maslahat yang jauh lebih besar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, UMNO perlu mempertimbang langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 pada PRU15.

“Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi, bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja.

“Tetapi sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu,” katanya.

BN berdepan kekalahan lebih teruk pada PRU kali ini berbanding tahun 2018, apabila hanya memperoleh 30 kerusi Parlimen dan kehilangan negeri yang menjadi kubu kuatnya iaitu Perlis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button