18 Ahli Parlimen BN sokong Muhyiddin
Tiada tindakan dikenakan kepada MP BN beri sokongan

BANGI, 26 Rabiulakhir 1444H, Isnin – PAS mendakwa 18 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, senarai nama individu terbabit akan melalui beberapa prosedur sebelum dihantar ke Istana Negara sebelum 2 petang dan disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri pada 4 petang.
“PN kini memiliki majoriti gabungan parti dan sokongan daripada Ahli Parlimen BN, sekali gus membolehkan PN nampak cahaya di hujung lorong.
“Doakan supaya semua ini berjalan dengan sempurna seperti diharapkan untuk kita bawa negara ini menjadi prihatin, bersih dan stabil,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.
Muhammad Sanusi pada masa sama meminta semua ahli Parlimen dan pimpinan UMNO untuk menolak cadangan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN yang mahu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Persekutuan.
Katanya, Ahmad Zahid kini sedang memaksa Ahli Parlimen BN yang menang dalam PRU15 untuk menyertai kerajaan PH yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama DAP dan AMANAH.
“Buat masa ini tidak ada gabungan yang mahu menyertai mereka kecuali Ahmad Zahid seorang, berikutan mahu menyelamatkan dirinya daripada kes-kes mahkamah seperti dijanjikan Anwar dan atas sebab itu beliau mahu memastikan kesemua 30 Ahli Parlimen BN menyokong Anwar,” katanya.
Muhammad Sanusi pada masa sama mendakwa Ahmad Zahid kini sedang mengheret UMNO untuk melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu ‘No Anwar, No DAP’.
Katanya, sekiranya ahli-ahli UMNO terus merestui tindakan Presiden mereka untuk memaksa Ahli Parlimen BN menubuhkan kerajaan bersama PH, bermaksa mereka akan jadi pengkhianat terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini.
Mengulas lanjut, katanya, mana-mana Ahli Parlimen BN yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan terkesan dengan sebarang tindakan daripada Akta Anti Lompat Parti.