Berita Utama

Agong perkenan proses kemuka gabungan kerajaan dilanjutkan sehingga 2 petang esok

Rakyat dititah supaya bertenang, pentadbiran kerajaan sementara berjalan seperti biasa

BANGI, 26 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah perkenan proses bagi ketua parti-parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10 dilanjutkan sehingga 2 petang esok.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah susulan permohonan ketua parti politik dan gabungan parti politik yang diterima Istana Negara hari ini.

“Seri Paduka Baginda menyeru dan menasihati seluruh rakyat bersabar dan bertenang sehingga proses pembentukan kerajaan dan pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10 selesai.

“Baginda turut mengingatkan pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa di bawah pengurusan Perdana Menteri Sementara berdasarkan prinsip yang digariskan bagi Kerajaaan Sementara,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah juga menyeru rakyat untuk bersama mendoakan semoga proses pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri ini dipermudahkan dan berjalan lancar demi kepentingan negara.

Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta tempoh masa dilanjutkan bagi menghantar akaun bersumpah (SD) Ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, ia susulan setakat ini belum ada rundingan rasmi antara pihaknya dengan parti politik lain bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

“Kami ahli-ahli BN telah sepakat menghantar akuan bersumpah (SD) kepada surat yang telah dikemukakan kepada Speaker (Yang Dipertua) Dewan Rakyat mengikut tempoh yang telah diberikan sebelum 2 petang ini.

“(Namun) kita harap Speaker Dewan Rakyat dapat memberi sedikit masa yang lebih fleksibel untuk kami mengemukakan SD setelah rundingan dibuat dengan beberapa pihak,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button