Berita Utama

Ahmad Zahid curang pada parti jika jalin kerjasama dengan Anwar

Presiden ibarat tipu ahli UMNO, salahguna PAU: Penganalisis

BANGI, 26 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Rundingan antara pemimpin utama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 yang menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP.

Rundingan tersebut, tidak kira sama ada membawa UMNO dan BN sebagai sebahagian kerajaan bersama PH atau sekadar menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri jelas membelakangkan suara akar umbi parti, demikian tegas Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub.

“Walau apa jua keputusan rundingan ketika ini, sama ada BN menjadi kerajaan atau kekal sebagai pembangkang, sepatutnya Ahmad Zahid perlu akur dengan desakan akar umbi yang mahukannya meletakkan jawatan.

“Rundingan berkenaan tidak melepaskan Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada bertanggungjawab terhadap prestasi buruk UMNO dan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Tawfik berkata, sekiranya kerjasama BN dan PH ini berlaku, ternyata ia bertentangan dengan ketetapan PAU.

Malah, situasi ketika ini jelas membuktikan Ahmad Zahid menipu ahli UMNO dan menyalahgunakan PAU apabila sebelum ini menafikan ingin bekerjasama dengan Anwar dan DAP, tapi perkara itu kini terserlah benar.

“Jelas, Ahmad Zahid curang pada parti dan ahlinya. Dengan pelbagai desakan di peringkat bahagian dan sayap serta pimpinan negeri, beliau nyata sudah kehilangan kepercayaan untuk memimpin UMNO dan BN, sekali gus perlu melepaskan jawatan untuk memulihkan parti,” katanya lagi.

Pagi tadi beberapa pemimpin utama BN dan PH duduk semeja mengadakan pertemuan di Hotel Seri Pacific yang dipercayai untuk berunding membentuk kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button