Berita Utama

PN kemuka lebih 112 SD sokong Muhyiddin sebagai PM

Perlembagaan tak nyata pelantikan PM perlu sokongan parti

BANGI, 26 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Perikatan Nasional (PN) mengesahkan pihaknya telah mengemukakan surat akuan berkanun (SD) daripada Ahli Parlimen yang memberi kepercayaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-10.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat akuan berkenaan yang dihantar adalah melebihi 112 jumlah Ahli Parlimen.

“Parti PN sudah mengemukakan SD daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Ahli Parlimen Pagoh untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Jumlah SD yang dihantar adalah melebihi 112, iaitu jumlah kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat yang diperlukan untuk pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN mengulangi beliau sudah mendapat bilangan yang cukup untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri, berdasarkan sokongan Ahli Parlimen secara individu.

Katanya, dalam Perlembagaan, tidak dinyatakan seseorang yang mahu dilantik sebagai Perdana Menteri perlu mendapatkan sokongan parti saja tetapi perlu memperoleh sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Bagaimanapun petang ini, Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah perkenan proses bagi ketua parti-parti politik dan gabungan parti politik mengemukakan pembentukan kerajaan baharu dan pencalonan bakal Perdana Menteri ke-10 dilanjutkan sehingga 2 petang esok.

Lanjutan berkenaan susulan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta tempoh masa dilanjutkan bagi menghantar akaun bersumpah (SD) Ahli Parlimen kepada Speaker Dewan Rakyat untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button