Wee Ka Siong terkilan, tak tahu perjumpaan BN dihadiri pemimpin PH
Keputusan yang dibuat perlu dapat persetujuan dan mandat Dewan Tertinggi BN

BANGI, 26 Rabiulakhir 1444H, Isnin – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong meluahkan rasa terkilan apabila pertemuan khas membabitkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di sebuah hotel di ibu negara pagi tadi, turut dihadiri pemimpin Pakatan Harapan (PH).
Beliau memaklumkan, notis jemputan yang diterima hanya menyatakan mengenai perjumpaan bersama Ahli Parlimen BN hari ini.
“Pagi tadi saya menghadiri perjumpaan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan semua Ahli Parlimen BN pada jam 10 pagi di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.
“Saya menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam semalam mengenai perjumpaan hari ini yang hanya melibatkan Ahli-Ahli Parlimen BN dan sidang media telah diadakan selepas perjumpaan berkenaan.
“Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) turut hadir dalam perjumpaan ini. Saya tidak tahu samada ianya telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, Pengerusi MCA Johor menegaskan, tiada sebarang pertemuan di antara Ahli Parlimen BN dan wakil PH dalam perjumpaan itu.
“Apa yang pasti, saya hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua Ahli Parlimen BN sahaja.
“Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH.
“Apa jua keputusan yang dibuat oleh BN perlu mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi BN,” katanya lagi.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan mengadakan pertemuan dengan pemimpin tertinggi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pimpinannya di sebuah hotel di ibu negara.
Ahmad Zahid kemudian mengesahkan 26 daripada 30 Ahli Parlimen yang memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan menyokong keputusan Dewan Tertinggi BN untuk bergabung dengan mana-mana parti.