Annuar Musa dedah plot rancangan Zahid bantu Anwar jadi PM
Formula gerak solo hanya 'grand design' selindung dari ahli parti

Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 27 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Tan Sri Annuar Musa akhirnya tampil membuat pendedahan berhubung konflik dalaman UMNO sehingga menyebabkan pelbagai kemelut politik sejak dua tahun lalu, termasuk kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Jelas beliau, perbezaan pendapat mula timbul sekitar Ogos 2020 apabila wujud laporan mengenai pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke di Ampang.
Rancangan membantu memberikan sokongan kepada Anwar untuk menjadi Perdana Menteri telah berlaku ketika itu, sehinggalah Ketua Pembangkang berkenaan tampil mengeluarkan kenyatan mendakwa cukup bilangan bagi dilantik jawatan tertinggi negara, katanya.
“Jadi timbullah satu keraguan, dan akhirnya terbukti presiden telah menandatangani satu surat untuk beri sokongan dan janji taat setia pada Anwar dan rakyat itu digunakan untuk bersetia dengan Anwar menjadi Perdana Menteri.
“Maka timbullah perbezaan pendapat yang mendalam di kalangan kita, tapi waktu itu saya dituduh dikatakan memfitnah sehingga Setiausaha Akhbar saya digantung kerana memfitnah tetapi segalanya terbukti benar,” katanya dalam temubual eksklusif bersama SuaraTV, malam tadi.
Menurut Annuar, sejak daripada itu juga Muafakat Nasional – yang dibentuk bersama PAS – tidak lagi berfungsi dan kemudiannya timbul pendirian UMNO untuk bergerak solo.
Dedah beliau lagi, formula bergerak solo hanya dicipta oleh pucuk pimpinan UMNO untuk menjayakan satu ‘grand design’ yang berselindung daripada ahli parti.
“Ahli parti masih lagi ‘no Anwar, no DAP’, pimpinan sudah membuat agenda pelan lain yang mana baru hari ini meletup keluar semua sekali.
“Jadi ‘conversation’ telefon, surat, perjumpaan rumah di Ampang, yang antara lain sampai peringkat menandatangani SD, siapa terlibat? Ramai terlibat seperti Noh Omar, Nazri Aziz, Tajuddin Rahman, ini adalah orang yang boleh jadi saksi.
“Maksud ‘going solo’ itu adalah ke arah membantu Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim. Dan formula itu gagal, dan terbukti bencana,” katanya.
Sebelum ini, Annuar Musa dalam temubualnya bersama TV Pertiwi bersikap kunci mulut terhadap semua persoalan berkaitan isu dalaman parti dan dakwaan yang dikaitkan dengan Ahmad Zahid.
Annuar ketika itu berkata, beliau tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan parti, apatah lagi dalam tempoh sebelum PRU15.