Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

GPS serah pada Agong lantik PM baharu

Kekal pendirian tubuh kerajaan PN, BN, GPS dan GRS

BANGI, 27 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Gabungan Parti Sarawak (GPS) kekal dengan pendirian mengemukakan cadangan bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan daripada gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan GPS.

GPS dalam kenyataan hari ini berkata, gabungan itu mewakili kerangkuman masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Memandangkan kepada kemelut politik di Semenanjung Malaysia, GPS berpendirian bahawa mandat rakyat hendaklah dihormati.

“Oleh itu, GPS menyerahkan kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong, mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Baginda dalam Perlembagaan Malaysia untuk melantik Perdana Menteri yang akan mengetuai kerajaan yang kukuh untuk mentadbir negara,” katanya.

Pada masa sama, GPS menegaskan, kepentingan negara adalah lebih diutamakan dan penubuhan kerajaan yang stabil mengambil kira kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi.

Ahad lalu, Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg mengumumkan gabungan itu bersetuju untuk membentuk Kerajaan Persekutuan bersama empat lagi pakatan parti politik Semenanjung dan Sabah itu demi mengukuh dan menstabilkan negara serta kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, kerajaan campuran bersama GPS dengan PN, BN dan GRS itu dipersetujui dalam pertemuannya bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di ibu negara, Ahad lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button