Berita UtamaDunia

PM Palestin desak dunia bersuara tolak dasar negara haram

'Israel harus bayar harga dasar pencerobohan terhadap rakyat kami'

RAMALLAH, 27 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh merayu masyarakat antarabangsa untuk menolak penempatan haram, pembunuhan dan kemusnahan oleh Israel di wilayah yang diduduki.

Beliau menegaskan negara haram itu harus membayar harga untuk pencerobohan sistematiknya terhadap rakyat Palestin.

“Jika rundingan untuk membentuk kerajaan di Israel berdasarkan siapa yang membina lebih banyak penempatan, mahu memudahkan untuk menembak lebih banyak ke arah kami, dan merampas lebih banyak tanah kami, maka ia sedang bersedia untuk mengisytiharkan perang terhadap kami yang diketuai oleh penjajah ekstremis.

“Memandangkan adegan ini yang merangkumi pihak yang ingin menyalakan ‘api pembunuhan dan kemusnahan’, dunia kini dikehendaki bersuara dengan lantang menolak dasar itu dan bersedia membuat Israel membayar harga bagi dasar pencerobohan sistematik ini terhadap rakyat kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada permulaan mesyuarat Kabinet mingguan yang diadakan di Ramallah.

Shtayyeh menganggap peneroka Israel yang mengamuk di Tel Rumeida, Bab al-Zawiya dan Jalan Shuhada di bandar Hebron di selatan Tebing Barat yang diduduki pada hujung minggu sebagai contoh peningkatan di mana tentera dan peneroka berkumpul sebagai satu pasukan dalam menyerang orang awam Palestin.

Katanya, ketika dunia menyambut Hari Kanak-Kanak Antarabangsa, Israel telah membunuh lebih 40 kanak-kanak Palestin sejak awal tahun ini dan menahan lebih 750 yang lain, 160 daripada mereka masih ditahan di penjara Israel.

Israel juga mengancam untuk merobohkan sekolah, seperti di Ein Samia berhampiran Ramallah dan Masafer Yatta, sebagai tambahan kepada pelanggaran harian yang dialami oleh sekolah-sekolah di Baitulmaqdis dan bandar lama Hebron serta di kampung dan pekan di Tebing Barat.

Perdana Menteri menggesa pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa untuk melaksanakan tugas mereka dalam melindungi hak kanak-kanak Palestin, mendedahkan dasar pendudukan Israel dan bertanggungjawab atas jenayahnya terhadap mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button