Berita Utama

UMNO perlu buat EGM jika sokong PH

'Saya masih pegang keputusan parti tak akan kerjasama dengan PH'

BANGI, 27 Rabiulakhir 1444H, Selasa – Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) perlu diadakan sekiranya UMNO mahu menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perubahan pendirian UMNO – yang pernah membuat ketetapan untuk tidak bekerjasama dengan PH – tidak boleh dilakukan oleh individu sebaliknya kesepakatan parti secara keseluruhannya.

“Saya harus dengar keputusan yang diambil kepimpinan parti hari ini. Sebagai Ahli Parlimen saya akan lihat dulu keputusan kerana kita tidak pernah buat sebarang keputusan untuk bersama (sokong) PH .

“Saya masih lagi berpegang dengan keputusan yang dibuat UMNO, yakni tidak akan bekerjasama dengan PH.

“Kalau nak kerjasama dengan PH parti perlu panggil EGM (Mesyuarat Agung Luar Biasa) tidak boleh diputuskan sesiapa sahaja sebab ia sudah diputuskan sebelum ini,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.

Beliau turut menegaskan tidak akan berganjak daripada ketetapan yang diputuskan parti sebelum ini dan jika ada ketetapan baru ia mesti senada dengan semua ahli Parlimen.

“Saya tetap dengan keputusan saya bertanding di atas tiket BN.

“Malah parti sudah buat keputusan sebelum ini, kalau ada keputusan selain itu maka perlu ada ketetapan baru yang dipersetujui semua ahli Parlimen,” tegasnya.

Ketika ini, sedang berlangsung Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) melibatkan pimpinan utama gabungan itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).

BN memaklumkan bahawa mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Difahamkan pertemuan tersebut adalah bagi memuktamadkan kerjasama PH dan BN dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button