Golongan minoriti kurang ajar, cerca Agong bila keputusan tak memihak mereka
Jangan rela pemimpin Melayu Islam ditunggang mereka jadi PM

BANGI, 28 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Naib Presiden BERJASA, Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad kesal dengan sikap golongan minoriti yang bersikap melampau apabila mencaci dan mencerca Yang di-Pertuan Agong dan institusi diraja.
Ini susulan kemelut politik melanda negara pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang menyaksikan Parlimen masih tergantung dan tiada lagi pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Lukman berkata, apabila keputusan seolah-olah tidak memihak kepada kehendak golongan minoriti ini, mereka menjadi kurang ajar dan derhaka dengan mencaci Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan institusi diraja secara sangat keterlaluan.
Ideologi dan dendam kesumat terhadap institusi diraja yang menjadi tiang seri Perlembagaan negara diletuskan dengan penuh amarah, katanya.
“Percayalah ia bukan disebabkan konflik politik kali ini sahaja, sebaliknya ia telah menjadi anutan ideologi serta perjuangan ‘suci’ mereka selama ini.
“Ya, untuk menghancurkan sistem raja berperlembagaan Malaysia dan menukar identiti negara ini menjadi republik.
“Jangan biarkan golongan ini mendominasi politik negara tercinta. Jangan pernah rela memimpin Melayu Islam yang ditunggang mereka menjadi PM (Perdana Menteri) buat Malaysia!,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Setakat empat hari pasca PRU15, Parlimen masih tergantung dengan kemelut pelantikan Perdana Menteri serta pembentukan kerajaan berlarutan tanpa ada mana-mana gabungan mempunyai majoriti mudah.
Bagaimanapun, Istana Negara dalam usaha menyempurnakan proses itu dengan menitahkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak menghadap Agong pagi ini.