Berita Utama

Kerajaan perpaduan perlu telus, muafakat sesama ahli politik

Sukar dijayakan tanpa ideologi yang sama: penganalisis

BANGI, 28 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Pembentukan kerajaan perpaduan memerlukan kerjasama yang baik antara ahli politik supaya kemelut yang melanda negara tidak terus berlaku.

Sekiranya kerajaan perpaduan ditubuhkan tanpa ikatan dari segi falsafah, ideologi pembangunan negara yang berteraskan prinsip sama, kerjasama tersebut pasti berdepan kesukaran.

Demikian pandangan penganalisis Keselamatan dan Politik di Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

“Penubuhan kerajaan perpaduan antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) itu sebagai sesuatu yang baik, namun memerlukan ketelusan, keterbukaan serta permuafakatan dalam kalangan ahli politik untuk menjayakannya dalam suasana politik negara yang tidak stabil, hari ini.

“Perkara yang sama perlu dinilai adakah ia boleh membantu menstabilkan politik dalam jangka masa yang panjang dan isu yang penting untuk dilihat apabila berlakunya perbezaan ideologi dan hala tuju yang berbeza,” katanya seperti dipetik Berita Harian, hari ini.

Justeru katanya, ahli-ahli politik perlu untuk duduk berbincang dan melihat apakah persamaan dari segi pelaksanaan ideologi berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan dasar keselamatan negara.

Beliau pada masa sama menjelaskan ada satu kaedah lain yang boleh diambil dengan pengisytiharan darurat selama enam bulan dalam tempoh peralihan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button