Berita Utama

Penamaan calon Padang Serai, Tioman mula jam 9 pagi esok

Calon disaran buat semakan, bayar deposit awal: SPR

BANGI, 28 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menyarankan bakal calon yang ingin bertanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi Parlimen P017 Padang Serai dan Dewan Negeri N42 Tioman membuat semakan awal sebelum hari penamaan calon, esok.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata, bakal calon yang ingin bertanding boleh menyerahkan kertas penamaan calon dari jam 9 pagi hingga 10 pagi.

Beliau berkata, penyerahan boleh dibuat calon, pencadang atau penyokong di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech bagi Parlimen Padang Serai dan Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin untuk Dewan Negeri Tioman.

“Seterusnya, calon-calon yang telah sah dinamakan sebelum ini (5 November 2022) juga dikehendaki hadir ke Pusat Penamaan Calon (PPC) yang berkenaan antara jam 9 pagi sehingga 10 pagi bagi tujuan cabutan undi untuk menentukan susunan nama pada kertas undi.

“Selain itu, bakal-bakal calon juga disarankan untuk membuat pembayaran deposit lebih awal dan resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti pembayaraan.

“Ini bertujuan untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ikmalrudin berkata, bakal calon yang mewakili mana-mana parti juga diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan ketika menyerahkan kertas penamaan.

Katanya, hanya calon, pencadang dan penyokong calon dibenarkan masuk ke PPC, sementara orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan yang telah ditetapkan.

“Penggunaan semua jenis alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan adalah tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, PDRM dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari penamaan calon,” katanya.

PRU15 bagi kedua-dua kawasan itu diadakan selepas tertangguh berikutan kematian calon Pakatan Harapan (PH), M Karupaiya di kerusi Parlimen Padang Serai pada 16 November dan calon Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman, Md Yunus Ramli pada 19 November lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button