Tipu Agong? Tular surat MP BN setuju Anwar jadi PM
Annuar Musa gesa laporan polis, desak ahli UMNO bangkit betulkan kedurjanaan ini jika benar

BANGI, 28 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Tan Sri Annuar Musa menggesa laporan polis dibuat untuk menyiasat sepucuk surat yang didakwa percubaan menipu Yang di-Pertuan Agong mengenai sokongan Barisan Nasional (BN) kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Menerusi hantaran di Facebook, bekas Setiausaha Agung UMNO itu memuat naik satu surat yang menggunakan kepala surat BN kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Isi kandungan berkisar kepada pesetujuan Dewan Tertinggi BN untuk mengadakan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pembentukan kerajaan Persekutuan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Surat yang ditandatangani Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN menyatakan persetujuan Dewan Tertinggi BN bersama 30 ahli Parlimen untuk memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kesepuluh.
“Patik ingin juga memaklumkan apa-apa dokumen bertulis sama ada dalam bentuk surat atau akuan oleh mana-mana 30 ahli Parlimen BN yang menamakan ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selain di atas (Anwar) adalah tidak sah, terpakai dan tidak patut dipertimbangkan,” katanya.
Berikutan itu, Annuar menggesa rakyat dan ahli UMNO dan akar umbi BN bangkit bagi memperbetulkan ‘kedurjanaan’ ini jika benar ia telah dilakukan.
“Jika surat kepada Yang di-Pertuan Agong merupakan satu percubaan menipu Agong, ianya satu kesalahan yang amat berat yang sekali lagi dibuat oleh orang yang sama seperti dilakukan pada bulan Oktober 2020,” katanya.
Annuar berkata demikian merujuk kepada dakwaan bahawa Ahli Parlimen BN ketika itu menyokong Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan pihak yang berbohong mengenai keputusan UMNO – yang sudah menetapkan untuk tidak menyokong mana-mana calon daripada gabungan politik lain.
“Kita sebaliknya dimaklumkan BN memutuskan tidak menyokong mana-mana calon, siapakah yang berbohong di sini?
“Rakyat menuntut penjelasan pemimpin BN yang terlibat, khasnya ahli mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya.