Berita Utama

Tun M mahu fokus penulisan sejarah, aktiviti dalam negara

Harap kerajaan baharu dibentuk dapat pulih negara

BANGI, 28 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap, kerajaan baharu yang akan dibentuk oleh gabungan parti yang menang dapat memulihkan kembali segala masalah dalam negara.

Meskipun Pejuang-GTA tidak berjaya meraih sebarang kerusi Parlimen dalam pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun beliau kekal positif dan terima pilihan yang dilakukan rakyat.

“Pejuang berdoa siapa juga yang menjadi Kerajaan Malaysia akan dapat pulih segala masalah yang akan dihadapi oleh negara.

“Oleh kerana Pejuang kalah semua 125 kawasan yang dipertandingkan, Pejuang tidak pun dapat menjadi pembangkang dalam Dewan Rakyat.

“Segala perancangan Pejuang untuk negara terpaksalah digugur. Yang boleh dilakukan oleh Pejuang ialah melihat arah pemerintahan pihak yang menang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bapa Pemodenan negara itu memaklumkan, beliau akan memberi tumpuan kepada penulisan bahan sejarah dan aktiviti dalam negara.

Jelas beliau, banyak peristiwa yang berlaku dalam negara belum direkod termasuk yang berlaku pada zaman British.

Malah dirinya terbuka untuk ditemuduga oleh penulis, katanya.

Dalam PRU15 lalu, Dr Mahathir dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz gagal mempertahankan kerusi masing-masing, selain kedua-duanya hilang wang deposit apabila memperoleh jumlah undi sangat rendah.

Dr Mahathir, 97, yang juga calon tertua pada PRU15, menyaksikan kegagalannya menambat hati pengundi di Langkawi apabila hanya memperoleh 4,566 undi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button