Berita Utama

Zahid sedang musnahkan UMNO

UMNO menuju kehancuran, perlu bersihkan segera dari dicop jijik

BANGI, 28 Rabiulakhir 1444H, Rabu – Amalan budaya politik ekstrem dalam UMNO punca berlaku krisis sehingga tiada kesepakatan dalam parti tertua orang Melayu itu.

Prof Datuk Dr Ahmad Murad Merican berkata, dalam situasi yang berlaku hari ini, Presiden UMNO, Datuk Ahmad Zahid Hamid sentiasa meletakkan setiap keputusan perlu dipatuhi semua anak-anak buah.

“Sedangkan dia sebenarnya sedang memusnahkan parti orang Melayu yang sudah tenat akibat amalan budaya yang diamalkan selama ini.

“Buat masa ini beliau sanggup berpaling arah dan dilihat berganding bahu dengan Pakatan Harapan (PH) yang selama ini adalah seteru utama.

“Sedangkan beliau tahu anak-anak buahnya tidak setuju dengan keputusan namun semuanya dibuat semata-mata untuk kepentingan dirinya,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Profesor Sejarah Sosial dan Intelektual, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, (ISTAC-IIUM) itu berkata, semua yang dilakukan Ahmad Zahid adalah mahu mengekalkan kuasa walaupun terpaksa melukakan hati pengundi-pengundi.

“Matlamat Ahmad Zahid untuk membela nasib orang Melayu kini semakin tersasar jauh namun disebabkan kerakusan dirinya untuk terus berkuasa menyebabkan dia terpaksa ‘pejam mata’ untuk kepentingan sendiri.

Jelas Prof Ahmad Murad, situasi yang berlaku ini telah menambahkan lagi fasa kehancuran UMNO.

“Fasa pertama kehancuran UMNO bermula 2008 apabila DAP berjaya menakluk Pulau Pinang dan dari situ bermula beberapa fasa sehinggalah negara dikejutkan dengan kes 1MDB yang melibatkan pemimpin utama dalam UMNO,” katanya.

Baginya, UMNO sudah tidak relevan dan ditolak oleh orang Melayu sendiri akibat sikap dan budaya yang diamalkan pemimpin mereka.

Atas dasar itu, beliau melihat pembaharuan perlu dilakukan secara besar-besaran supaya dapat membersihkan dunia politik daripada terus dicop kotor dan jijik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button