Berita UtamaDunia

Afghanistan laksana hukuman sebat terbuka kepada pesalah zina

19 individu termasuk sembilan wanita terima 39 kali sebatan

KABUL, 29 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Afghanistan melaksanakan hukuman sebat secara terbuka terhadap 19 individu termasuk sembilan wanita yang terbabit perbuatan zina, awal bulan ini.

Jurucakap Mahkamah Tinggi Afghanistan, Mawlawi Enayatullah berkata, hukuman berkenaan dikenakan selepas mengambil kira semua pertimbangan syariah.

Menurutnya, setiap persalah zina dikenakan 39 kali sebatan.

Hukuman sebat berkenaan dilakukan di wilayah Takhar pada 11 November lalu, selepas solat Jumaat atas arahan daripada mahkamah wilayah berkenaan.

Walaupun hukuman berkenaan merupakan kali pertama dilakukan secara sistematik di bawah pentadbiran Taliban selepas kembali berkuasa pada 2021, bagaimanapun tidak jelas sama ada hukuman itu akan dikenakan di seluruh negara.

Pelaksanaan undang-undang syariah berkenaan dikuatkuasakan selepas pemimpin tertinggi Taliban mengadakan pertemuan dengan hakim dan meminta hukuman secara konsisten mengikut undang-undang syariah.

Beberapa negara telah meneliti rekod pentadbiran Taliban berdasakan hak asasi manusia dan hak wanita sejak mereka mengambil alih pentadbiran negara pada Ogos 2021.

Malah, sehingga kini tiada negara yang mengiktiraf pentadbiran Taliban secara rasmi namun mengkritik tindakan berkenaan terutama apabila mengabaikan hak wanita dan kanak-kanak di negara itu.

Ini termasuk tindakan Taliban melanggar janji untuk membuka semula sekolah kepada pelajar perempuan namun menutupnya semula tanpa alasan kukuh. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button