Berita UtamaDunia

AS salur dana ketenteraan AS$400 juta kepada Ukraine

Bantu Kyiv pergiat pembabitan dalam perang menentang Russia

WASHINGTON, 29 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Amerika Syarikat (AS) mengumumkan dana bantuan ketenteraan baharu sebanyak AS$400 juta, meliputi senjata, amunisi dan peralatan pertahanan udara untuk Ukraine.

Sejumlah peruntukan itu diberikan bagi tujuan mempergiatkan pembabitannya dalam perang menentang Russia.

“Peluru artileri, tembakan tepat, peluru berpandu pertahanan udara, dan kenderaan taktikal yang kami sediakan akan memberikan perkhidmatan terbaik kepada Ukraine di medan perang,” kata Setiausaha Negara Antony Blinken dalam satu kenyataan, semalam.

Jabatan Negara berkata, pakej itu termasuk senjata, peluru dan peralatan pertahanan udara daripada stok AS dan salah satu matlamatnya adalah untuk membantu Ukraine bertahan daripada serangan berterusan Russia ke atas infrastruktur tenaga, lapor AFP.

Jabatan Negara menyatakan bahawa ia akan menjadikan jumlah komitmen pentadbiran Biden ke Kyiv kepada hampir AS$19.7 bilion.

Jabatan itu juga berkata, sekutu AS seperti Britain, Perancis dan Sweden turut mengumumkan pakej bantuan berjuta-juta dolar untuk Ukraine baru-baru ini.

“Kami akan terus menyokong Ukraine selama mana yang diperlukan, jadi ia boleh terus mempertahankan diri dan berada dalam kedudukan paling kukuh di meja rundingan apabila tiba masanya,” kata Antony.

Sementara itu, Pentagon berkata, pakej itu termasuk peluru tambahan untuk sistem pertahanan udara NASAMS dan untuk sistem roket artileri mobiliti tinggi (HIMARS).

Presiden AS, Joe Biden berkata, beliau menjangkakan bantuan AS kepada Ukraine akan diteruskan tanpa gangguan walaupun mendapat tentangan daripada Republikan, yang dijangka menggunakan majoriti baharu mereka di Dewan Rakyat untuk memantau aliran bantuan.

Russia telah berulang kali memberi amaran bahawa membekalkan Kyiv dengan lebih banyak senjata hanya akan memburukkan lagi konflik, yang kini memasuki bulan kesembilan.

“Membanjiri Ukraine secara berterusan dengan senjata hanya akan mengheret konflik itu dan menjadikannya lebih menyakitkan bagi pihak Ukraine, tetapi ia tidak akan mengubah matlamat kami dan keputusan akhirnya,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, awal bulan ini.

Dmitry menegaskan bahawa AS sebenarnya terlibat dalam konflik Ukraine.  

“De facto AS telah terlibat secara mendalam,” katanya.

Kenyataannya itu sama seperti Menteri Luar, Sergei Lavrov yang mengatakan bahawa Washington telah ‘menyertai de facto dalam perang ini sejak sekian lama’.

“Perang ini dikawal oleh Anglo-Saxon,” kata Lavrov. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button