Berita Utama

Hishammuddin nafi ditawar jawatan PM

Tak pernah terlibat sebarang rundingan antara PH atau PN

KUALA LUMPUR, 29 Rabiulakhir 1444H, Khamis – Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Hishammuddin Hussein menafikan dakwaan ditawarkan jawatan Perdana Menteri oleh Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang rundingan, sama ada dengan PN atau Pakatan Harapan (PH).

Katanya, artikel yang disiarkan oleh sebuah portal media tempatan yang mendakwa beliau ditawarkan jawatan tertinggi adalah tidak benar.

“Ramai menyebarkan artikel ini – saya ingin mengesahkan bahawa dakwaan ini tidak benar sama sekali. Saya tidak sesekali terlibat dalam sebarang rundingan, sama ada dengan Perikatan Nasional, mahupun Pakatan Harapan. 

“Saya juga tidak pernah ditawarkan apa-apa jawatan,” kata Hishammuddin dalam catatan di Facebooknya pada pagi ini.

Susulan kenyataan itu, portal media berkenaan telah menarik balik laporan artikel tersebut.

“Untuk makluman semua, berita tersebut telah diturunkan,” kata Hishamuddin.

Sebelum ini, Hishammuddin tegas berpendirian Barisan Nasional (BN) tidak bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan tiada gabungan memperoleh majoriti mudah di Parlimen.

Bagaimanapun, tengah malam tadi (24 November), Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara memutuskan untuk menyokong dan mematuhi titah Yang Di-Pertuan Agong supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang tidak dipimpin oleh PN.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button